21 May 2010

Anak-anak: Ibu Bapa Acuan Akhlak Anak

Oleh MELATI MOHD ARIFF

Mstar - Jumaat Mei 7, 2010


KUALA LUMPUR: "Anak saya degil tak mahu dengar cakap saya"! "Anak saya malas tak mahu belajar, kalau saya berleter baru dia buka buku. Kalau periksa selalu dapat nombor corot!"
"Anak saya kalau saya marah, angkat kaki dan keluar dari rumah!"

"Anak saya lebih suka lepak dengan kawan-kawan dia, ada kala sampai tak balik rumah!"
"Anak saya malas solat, kalau suruh baru dia buat!"


Ini ialah antara keluhan yang sudah lazim sampai ke cuping telinga Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, perunding motivasi, juga Pengarah Urusan MAP Training & Consultancy Sdn Bhd.


"Anak-anak sebenarnya bukan tak mahu dengar nasihat atau cakap emak bapak. Paling penting waktu yang kita pilih untuk kita beri nasihat. Kalau tak kena waktunya, nasihat kita akan dianggap sebagai satu leteren atau bebelan," kata beliau dalam wawancara dengan Bernama di pejabatnya di Wisma Belia di sini baru-baru ini.



TEGUR DULU


Ada ibu bapa yang cepat naik angin apabila anak-anak melakukan kesilapan dan sekiranya ibu bapa turut mahu menasihati anak mereka ketika itu, anak akan mengambil sikap dingin dan tidak akan mendengar cakap mereka.


Seperti yang ditegaskan Dr Asmadi, tegur dan nasihat tidak boleh dilakukan serentak.
Bila menegur, fokus sahaja kepada apa yang ditegur. Jangan mencampur-adukkan dengan nasihat kerana ketika anak ditegur, dia berada dalam keadaan dipersalahkan.


Anak yang ditegur juga sudah berada dalam keadaan yang negatif. Masa itu juga dia sudah menutup dirinya dan seolah-olah ada tabir antara dia dan ibu atau ayah yang menegur.


Menurut Dr Asmadi, anak juga tidak berada dalam apa yang dipanggil 'receptive mood'.
"Banyak mana pun kita cakap dia tak akan dengar. Makanya sering kita dengar ibu bapa mengeluh anak-anak tak mahu dengar cakap. Bukan tak hendak tapi dia tak ada mood nak mendengar.


"Jadi bila kita menegur anak, tegur sahaja kesalahan dia. Katakan kesalahan itu yang pertama, mungkin kita boleh kata emak atau ayah dulu pun macam itu, ini biasa dalam proses pembesaran.


"Cukup dengan itu, tak perlu tambah dengan nasihat. Anak-anak akan menganggap cakap kita sebagai satu bebelan, hanya memenatkan kita," jelas beliau.



PILIH WAKTU SESUAI


Pilih waktu yang sesuai untuk menasihati anak. Ini nasihat seterusnya daripada Dr Asmadi kepada ibu bapa yang sering menghadapi masalah dengan anak-anak.


"Bila keadaan sudah tenang, mungkin masa kita minum-minum atau dalam kereta dengan anak, kita nasihat dia masa itu.


"Anak akan lebih bersedia sebab tabir yang ada masa dia ditegur dah tak ada dan dia bukan lagi berada dalam keadaan dipersalahkan.


"Katakan kita tegur dia tentang kawan-kawan dia. Beritahu dia kalau boleh cari kawan-kawan yang macam ini. Abah dulu pun cari kawan-kawan yang macam itu. Kita bercakap dengan cara mahu mendidik dia, dia akan terima," kata perunding motivasi ini lagi.
Nasihat juga perlu dimulakan dengan kemesraan.


Menurut Dr Asmadi, ibu bapa boleh mengingatkan perkara terbaik yang anak pernah buat semasa dia kecil untuk merangsang anak terus melakukan perkara yang sama.


"Anak mungkin tak ingat pun waktu kecil dia tapi sengaja kita kaitkan untuk dia merasa dia seorang yang bagus dan sebagainya.


"Jadi kita mulakan dengan kemesraan. Kita mulakan dengan sesuatu yang positif, barulah anak akan membuka diri dia. Ini amat perlu kalau kita mahu anak mendengar nasihat kita," tambahnya.



PERLU SABAR


Ibu bapa juga perlu sabar dalam menasihati anak dan pada kebanyakan masa, nasihat perlu diulang secara positif beberapa kali sebelum anak menerima sepenuhnya.


Dalam proses pembentukan watak, anak-anak juga perlu diberi suatu tempoh tertentu untuk berubah.


Dr Asmadi memberi contoh menasihati anak untuk menunaikan ibadat solat.
Ada ibu, katanya terus memarahi anak apabila lambat solat. Si ibu akan mengherdik dengan kata-kata "Pukul berapa sekarang? Dah nak masuk asar, zohor pun tak sembahyang lagi. Nak kena cakap baru nak buat!"


Menurut beliau, cara yang demikian adalah negatif dan mungkin hanya dapat memuaskan hati ibu tetapi tidak membantu anak.


"Keibubapaan positif menggunakan pendekatan berikut. Kita tanya dia dengan baik sudah solat ke belum. Beritahu dia yang waktu sudah lewat dan peringatkan dia ketika dia dalam umur 10, 11 tahun tak apa tapi bila dah akil baligh, masuk usia 13 tahun, dia tak boleh lagi lewat solat. Kemudian suruh dia ambil air sembahyang dan solat.


"Tak ada kata nak pukul dia, tak mengungkit kesalahan silam dia. Kita tak kata dia malas. Setiap kali anak kita lewat solat, kita ulang dan beri masa dia untuk berubah. kita ada dua tahun untuk membentuk watak menjadi orang yang rajin solat.


"Dengan cara mengulangi nasihat, kita sebenarnya menanam nasihat dalam minda bawah sedar dia. Sebenarnya banyak tindakan manusia dibuat dalam minda separuh sedar dan spontan. Bila sampai umur 13 tahun kita hadiahkan sejadah baru umpamanya, dan katakan umur dia sudah 13 tahun dan tak boleh lagi lengahkan solat. Tengoklah nanti perubahannya. Pendidikan memerlukan kesabaran," jelas Dr Asmadi.



TUNJUK TELADAN


"Bapa borek anak rintik" atau "Seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul"! Antara faktor yang mungkin menyebabkan anak tidak mendengar cakap ibu bapa kerana sikap ibu bapa sendiri.


"Emak bapak tak buat tapi suruh anak buat. Sebagai contoh, emak bapak cakap tentang sembahyang bila azan tapi mereka sendiri tak buat.


"Lapan puluh peratus pendidikan ialah melalui teladan, 20 peratus melalui kata-kata. Anak-anak lebih percaya apa yang dia nampak daripada apa yang kita cakap atau suruh," kata Dr Asmadi.


Dalam masa yang sama, katanya, ibu bapa juga perlu memastikan anak tahu apa yang dilakukan adalah kerana sayang dan untuk kebaikannya bukan kerana semata-mata mahu memarahinya.
Lengkapkan diri dengan kemahiran keibubapaan untuk menangani karenah anak-anak. Ini nasihat Dr Asmadi kepada ibu bapa.


Ibu bapa, katanya perlu belajar kerana ada sesetengah ibu bapa tidak bersedia untuk menjadi ibu bapa semasa berkahwin. Mereka pun mungkin tidak mendapat asuhan yang sebenarnya untuk menjadi ibu bapa.


"Ada juga kalanya perkara yang kita buat tak salah tetapi kita tidak ulang kerana kita tak sedar pun apa yang kita buat itu betul. Bila ikuti program keibubapaan ini banyak yang kita boleh belajar.


"Melabur sedikit untuk kebaikan kita. Jangan segan bertanya dan banyakkan membaca. Ibu bapa perlu ambil inisiatif untuk mendapatkan kemahiran ini. Jangan ambil mudah dan ingat kita ibu bapa, kita dan tahu semua perkara," kata Dr Asmadi.


Menurut beliau, ibu bapa yang mempunyai anak yang ramai sepatutnya belajar daripada pengalaman mendidik anak.


"Masalahnya kita tak belajar, masih ulang kesilapan kerana tiada pembaikan dalam ilmu keibubapaan," tambahnya.


Soal "lebih dulu makan garam" juga kata Dr Asmadi tidak lagi boleh digunakan oleh ibu bapa dalam menegur anak.


Ini, katanya kerana orang yang mahu mendakwa "lebih dulu makan garam" perlu lebih berpengalaman.


"Pengalaman datang daripada pertama, ramainya orang yang kita temui dan kedua, ilmu yang kita dapat dan ilmu diperoleh daripada pembacaan atau menghadiri program ilmiah atau sebagainya.


"Anak-anak hari ini ada yang lebih banyak membaca daripada ibu bapa dan lebih ramai kawan termasuk interaksi menerusi alam siber. Mereka juga boleh mendakwa lebih banyak makan garam daripada kita," katanya.


JADI ACUAN


Ada sesetengah ibu bapa yang mengambil sikap lepas tangan dan mengharapkan guru untuk mendidik dan membentuk anak mereka apabila berdepan dengan masalah anak yang tidak mahu mendengar kata.


Menurut Dr Asmadi, ibu bapa sebenarnya ialah orang yang membentuk acuan jati diri anak, bukan guru!


Justeru, kata beliau, jika ibu bapa melepaskan kepada guru untuk membentuk anak mereka, ia tidak akan berlaku.


"Itu sebabnya kita kata tabiat, akhlak, perilaku, pekerti, susila, semuanya ini lahir dari rumah kerana acuan emak bapak itu.


"Ibu bapa kena perbaiki diri, mula solat berjemaah, makan bersama, luangkan lebih masa untuk anak-anak, nasihat dengan cara yang betul dan waktu yang sesuai, ubah cara menegur anak.


"Kesannya tak mungkin nampak dalam masa yang singkat. Ia akan berlaku dalam jangka masa panjang. Acuan itu akan terbentuk perlahan-lahan," kata Dr Asmadi. - BERNAMA

18 May 2010

Sambutan Hari Guru 2010

Isnin, 17 Mei 2010 - SKJ23 telah mengadakan sambutan Hari Guru 2010, yang disambut bersama oleh para guru dan murid-murid SKJ23. Bertemakan Guru Pembina Negara Bangsa, ia dianggap sebagai satu 'hadiah' atau 'berkat' kepada guru-guru yang telah atas rasa tanggungjawab dan dedikasi, bertungkus lumus mendidik anak-anak bangsa saban tahun tanpa jemu. Seperti apa yang disebut 'guru ibarat lilin, membakar diri untuk menerangi sekeliling'.

Pada hari tersebut, beberapa aktiviti telah dijalankan bagi mengisi sambutan sehari itu di sekolah. Antaranya ialah:

1) Bacaan Perutusan Sempena Hari Guru 2010 oleh Menteri Pelajaran Malaysia, Y.A.B Tan Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin - dibacakan oleh GPK 1 SKJ23, En. Hamdan bin Tahir.
2) Bacaan Perutusan Hari Guru 2010 oleh Tan Sri Dato' Haji Alimuddin Bin Haji Mohd Dom - dibacakan oleh GPK HEM SKJ23, Tuan Hj Umar bin Mat Rof.
3) Perlawanan bola sepak antara pasukan guru dan pasukan murid.
4) Perlawanan bola jaring antara pasukan guru dan pasukan murid.
5) Sukaneka bagi guru-guru (mengikut kumpulan rumah sukan- Kenari, Myvi, Viva)
6) Persembahan guru - nyanyian lagu 'Guru Malaysia'.
7) Serahan hadiah murid-murid kepada guru-guru. (paling dinanti semua)
8) Persembahan murid-murid setiap kelas untuk guru-guru.

Berikut adalah antara gambar-gambar di sekitar sambutan:



Persembahan guru-guru dan murid-murid SKJ23:

Gotong Royong Hari Guru 2010

Gotong Royong Bersempena Sambutan Hari Guru 2010 yang diarahkan berjalan serentak di semua sekolah di seluruh negara pada 15 Mei 2010 telah turut diadakan di SKJ23. Meskipun cuaca pada pagi itu hujan, namun guru-guru, murid-murid serta ibu bapa penjaga tetap hadir untuk sama-sama bergotong-royong membersihkan persekitaran SKJ23.

Guru-guru dan murid-murid dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut kawasan masing-masing yang perlu dibersihkan. Antara bilik-bilik khas yang dibersihkan adalah pejabat, bilik guru, surau, stor sukan, makmal sains, kedai buku, bilik muzik dan pra sekolah. Sebahagian guru lagi ditugaskan bersama kumpulan ibu bapa penjaga untuk melakukan kerja-kerja membersih dan menceriakan kawasan sekolah.

Sekitar aktiviti gotong royong:


***Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam gotong royong ini***

14 May 2010

Tema Hari Guru

2010 - Guru Pembina Negara Bangsa
2009 - Guru Pembina Negara Bangsa
2008 - Guru Cemerlang Negara Terbilang
2007 - Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006 - Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005 - Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004 - Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003 - Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002 - Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001 - Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggungjawab Bersama
2000 - Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999 - Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998 - Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997 - Guru Bestari Sekolah Bestari
1996 - Guru Malaysia Dan Pendidikan Bertaraf Dunia
1995 - Permuafakatan Dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994 - Guru Inovatif Dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993 - Guru Inovatif Dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992 - Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991 - Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990 - Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989 - Guru Pembina Budaya Ilmu
1988 - Guru Pengasas Budaya Membaca
1987 - Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986 - Pendidikan Teras Nasionalisme
1985 - Guru Dan Masyarakat Asas Kesejahteraan Pendidikan
1984 - Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983 - Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982 - Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981 - Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980 - Pendidikan Teras Perpaduan Rakyat
1979 - Murid Sejahtera Negara Jaya
1978 - Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977 - Dedikasi Dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976 - Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan
1975 - Guru Dan Pembangunan Negara
1974 - Peranan Guru Dalam Zaman Sains Dan Teknologi
1973 - Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972 - Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara

04 May 2010

Sukan Tahunan SKJ23 2010

Temasya sukan tahunan SKJ23 diadakan baru-baru ini, pada 2 Mei 2010. Ia disempurnakan dengan perasmian pembukaannya oleh Dato' Ismail Mohamed Said DIMP, SMP, KMN, Ahli Parlimen Kuala Krau, Pahang. Turut hadir memeriahkan majlis adalah YDP PIBG SKJ23, Ustaz Ismail b. Awang Mat Salleh, Timbalan JKKK J23, Haji Sulaiman b. Bakar dan hadirin-hadirin yang merupakan ibu bapa/ penjaga murid-murid SKJ23 serta penduduk setempat.

Sebanyak 4 rumah sukan terlibat dalam temasya kali ini (termasuk 1 rumah sukan Prasekolah) iaitu Kenari, Myvi dan Viva. Penamaan rumah sukan tahun ini diambil bersempena nama-nama kereta keluaran Perodua.

Gambar-gambar sekitar temasya sukan SKJ23 2010:










Keputusan Temasya Sukan SKJ23 2010:
1) Johan Keseluruhan - Rumah Kenari
2) Olahragawan SKJ23 2010 - Isznul Khaizeem b. Abd Malek (Kenari)
3) Olahragawati SKJ23 2010 - Yusma Hanim bt. Yazid (Viva)
4) Olahragawan Harapan SKJ23 2010 - Adam Amirun b. Zainal Abidin (Kenari)
5) Olaragawati Harapan SKJ23 2010 - Siti Suhana bt. Md Sahar (Kenari)

Dalam temasya sukan itu juga, Dato' Ismail telah mengumumkan akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM3000 ke dalam akaun PIBG, dan juga meluluskan peruntukan untuk membaiki atap astaka sekolah. Alhamdulillah, jutaan terima kasih diucapkan atas keprihatinan Dato' Ismail terhadap keperluan kami.