22 May 2009

Didik@BH

JPA16 yakin program Didik mampu tingkat pencapaian

Oleh Norliza Abdullah

JAWATANKUASA Peningkatan Akademik Sekolah Kebangsaan Daerah Jelebu (JPA16) mengambil pendekatan lebih aktif bagi meningkatkan lagi peratus kecemerlangan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di daerah berkenaan.

Pengerusinya, Zulkupli Osman, berkata program peningkatan antaranya kelas tuisyen dan seminar motivasi yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu itu menampakkan kesan apabila jumlah calon cemerlang meningkat.

Tahun ini, beliau berkata, pihaknya mensasarkan seramai 157 daripada 627 calon UPSR di Jelebu mendapat 5A berbanding 53 pada 2006 dan 73 murid lagi tahun lalu.

Di peringkat jabatan pula, kami mengambil inisiatif mengendalikan proses penilaian murid menerusi Program Ujian Bersama JPA16 bagi memastikan calon benar-benar bersedia sebelum menduduki peperiksaan sebenar September depan.

“Penilaian ini penting kerana keupayaan murid dapat diukur dari semasa ke semasa, selain memperbaiki pencapaian mereka dalam semua subjek,” katanya ketika melawat Klinik UPSR di Kuala Klawang, Jelebu, baru-baru ini.

JPA16 menganjurkan program pendidikan tambahan kendalian Unit Pendidikan Berita harian itu bagi memantapkan lagi persediaan 179 calon dari 16 sekolah di daerah berkenaan.

Sepanjang mengikuti klinik dua hari di Sekolah Kebangsaan Undang Jelebu itu, peserta terbabit dibimbing penceramah pakar yang juga penulis Fokus UPSR Didik berdasarkan kertas Bahasa Melayu Pemahaman dan Penulisan, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Credit to Berita Harian Online, Friday, 22 May 2009

No comments: